
PUSAKA ULUNG MELAYU
Anda pengunjung ke:
Syeikh Hamzah al-Fansuri
Beliau sangat terkenal sebagai seorang pujangga Melayu-Islam dalam zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli suluk. Beliau pernah mengunjungi negeri Pahang, Bentan, Jawa, Siam, Mekah dan Madinah. Beliau tidak jemu-jemu mempelajari segala ilmu. Beliau juga mengembangkan ajaran-ajaran agama dengan dibantu oleh Syamsuddin al-Sumatera-i. Namun begitu, ajaran-ajaran suluknya ditentang hebat oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dariSingkel.Segala pendapat,ajaran, dan karangan Hamzah dikatakan membahayakan pengikut-pengikut agama Islam. Akibatnya, Sultan Iskandar Thani memerintahkan kitab-kitab karangan Hamzah dan Syamsuddin dibakar pada tahun 1637. Hamzah Fansuri juga terkenal sebagai seorang penyair yang menghasilkan karya yang mengandungi kias ibarat, panduan hidup serta teladan kepada manusia. Hal ini boleh dilihat dalam ‘Syair Perahu’. Beliau mengibaratkan kehidupan manusia umpama sebuah perahu. Antara syair-syair beliau yang lain ialah ‘Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai’. Manakala karangan beliau yang lain ialah dua buah kitab iaitu’ Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk waI-Tauhid’. Hamzah terkenal dalam Kesusateraan Melayu Tradisional sebagai orang yang memperkenalkan bentuk syair yang kita kenali sekarang ini. Selain itu, beliau juga menjadi penyumbang utama dalam Sastera Kitab. Daripada berbagai-bagai sumber disebutkan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa lama. Selain belajar di Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya ke Banten (Jawa Barat), bahkan sumber yang lain menyebut bahawa beliau pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Dikatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa. Karya-karya Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat digolongkan kepada peringkat awal dalam menghasilkan karya puisi/sastera dalam bahasa Melayu, sangat menonjol terutama sekali dalam sektor sufi. Lebih terserlah lagi kemasyhurannya kerana terjadi kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak sependapat dengannya yang dimulai dengan karya-karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, berlanjutan terus hingga sampai ke hari ini karya-karya Syeikh Hamzah al-Fansuri selalu dibicarakan dalam forum-forum ilmiah. Di bawah iniada menyenaraikan karya beliau yang telah diketahui, iaitu:
1). Syarb al- 'Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin.
2). Asrar al-'Arifin fi Bayan 'Ilm as-Suluk wa at-Tauhid.
3). Al-Muntahi.
4). Ruba'i Hamzah Fansuri.
5). Kasyf Sirri Tajalli ash-Shibyan.
6). Kitab fi Bayani Ma'rifah.
7). Syair Si Burung Pingai.
8). Syair Si Burung Pungguk.
9). Syair Sidang Faqir.
10). Syair Dagang.
11). Syair Perahu.
12). Syair Ikan Tongkol.


